“JIKA kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka ia dendam. Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan, ia perkara biasa. Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan, ia adalah zalim. Tetapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan itu adalah mulia dan terpuji,” kata novelis terbilang berasal dari Kanada pada awal abad ke-20, Moza de la Roche.
Dia menjadi terkenal dengan novel bersirinya bertajuk Jalna yang mula diterbitkan pada 1927 walaupun sebenarnya dia sudah menerbitkan kisahnya untuk pertama kali dalam Munsey’s Magazine pada 1902.
Kita melihat hikmah yang mendalam di sebalik kata-kata novelis yang meninggal dunia pada 1961 itu. Nilai kebaikan sejagat yang ada di dalamnya ialah - balaslah kejahatan dengan kebaikan jika kita ingin hidup mulia dan terpuji dan jangan sekali-kali kita berbuat sebaliknya kerana ia satu kezaliman.
Nilai kebaikan sejagat yang ada pada ayat ini ialah sifat mulia dan terpuji yang ada pada kesabaran dengan tidak membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita walaupun ia dibenarkan atas dasar qisas sebagai ‘semangat’ keadilan.
Oleh itu kita dapati baginda Rasulullah SAW menarik balik sumpahnya untuk mengqisas Wahsyi, budak yang membunuh bapa saudara Rasulullah, Hamzah kerana baginda mahu mendapatkan pahala sabar yang besar di samping melaksanakan anjuran Allah SWT dalam ayat di atas.
Maha Benar Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud: “Dan bersabar (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” - (Surah al-Nahl: 127).
Dalam hadis bermaksud: “Sesungguhnya akhlak yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan sembahyang malam.”
Baginda sentiasa berdoa pada Syaaban ini dengan doanya yang masyhur Allahumma barik lana fi Sya’ban, wa ballighna Ramadan, Ya Allah, anugerahkan kami keberkatan pada Syaaban dan sampaikan hidup kami ke Ramadan. Betapa mulianya Ramadan sehingga Baginda mengharapkan dapat hidup di dalamnya walaupun di antara Syaaban dan Ramadan tinggal selangkah lagi. Betapa besarnya Ramadan sehinggakan Baginda ingin mendapatkan kebesarannya walaupun masih berada dalam Syaaban.
Kebaikan yang ada dalam kedua-dua bulan mulia ini sangat banyak dan tidak seperti bulan lain. Baginda tidak pernah banyak berpuasa sunat kecuali pada Syaaban, sedangkan selama Ramadan baginda menunaikan kewajipan puasa.
Pada Syaaban, ada malam Nisfu Syaaban dan dalam Ramadan ada malam Nuzul al-Quran. Dalam Syaaban ada solat sunat Nisfu Syaaban bagi sesetengah umat yang mahu melakukannya, manakala pada Ramadan ada solat tarawih bagi semua umat. Pada Syaaban pengampunan Allah SWT ke atas umat manusia kecuali orang musyrik, orang yang bermusuhan, pembunuh diri dan pelaku zina manakala pada Ramadan ada pembebasan manusia daripada api neraka.
Kebaikan sedemikian yang kita cari di dunia sebagai jalan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak. Melalui kebaikan itu kita akan mendapatkan kemuliaan dan kemuliaan akan mendekatkan kita kepada al-Khaliq, Maha Pencipta.
Allah berfirman yang bermaksud: ”Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT) kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan. Kepada Allah jugalah segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang salih pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.” - (Surah Fatir: 10)
Jika kemuliaan boleh didapati dengan melaksanakan perintah Allah SWT seperti dikatakan ayat di atas, maka sebaliknya kehinaan akan diperoleh seseorang jika dia mengetepikan perintah berkenaan.
Dalam realiti kehidupan negara, kemuliaan warga negara dapat diperoleh jika dia melaksanakan semua peraturan negara dengan baik. Bagi pemimpin pula, kemuliaan kepemimpinannya akan semakin terserlah dengan lapan perkara.
Abu Ja’far bin Babawaih al-Sijistani berkata: “Seorang raja pernah menulis surat kepada raja negeri lain. “Bagaimana engkau mengatur kerajaanmu dan memerintah rakyatmu? Raja negeri itu menjawab: “Dengan lapan cara; tidak bergurau ketika memerintah dan melarang; tidak melanggar satu pun janji dan ancaman; menghukum berdasarkan kesalahan bukan berdasarkan kedengkian; mengangkat pegawai berdasarkan kecekapan bukan berdasarkan keinginan; memujuk hati rakyat dan tidak memaksa; mempermudah pemberian kebenaran bukan kerana kelemahan; menyediakan bahan makanan dengan merata dan menghindari perkara yang berlebihan.”
Kemuliaan itu bukanlah diukur dengan kegagahan dan penampilan. Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara. Demikian pula kebahagiaan, tidak dinilai daripada banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan.
Nilai manusia yang mulia sebenarnya diukur daripada kemurahan hati dan sifat terpuji, bukan baju yang dipakainya, kasut yang digunakannya, bukan istananya dan bukan pula rumahnya. Justeru, yang menjadi ukuran ialah nilai ilmu, dermawan, kesabaran dan akalnya yang dirangkumkan dalam istilah takwa. “Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa,” maksud firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13.
Syaitan sebagai musuh yang wajib kita lawan menyuruh berbuat jahat dengan tidak mengendahkan ajaran Allah. Dengan mengikuti jejaknya itu kita akan tersesat dan hina. Oleh itu supaya kita tidak tersesat dan menjadi mulia, kita wajib melawannya dengan tidak membalasnya melakukan perbuatan dosa tetapi dengan melakukan perbuatan baik. Di situlah kemuliaan manusia terserlah dan pada Syaaban dan berikutnya Ramadan adalah masa sesuai untuk bertindak menuju kepada kemuliaan. Allahumma barik lana fi Sya’bana wa ballighna Ramadana.
No comments:
Post a Comment